Sunday, May 10, 2009

Rehat Sejenak..


Beberapa potongan hadis untuk renungan bersama...
Syurga Yang DiDambakan
Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:”Setiap umatku masuk ke dalam syurga selain orang yang enggan. Mereka bertanya:”Ya Rasulullah! Siapakah yang enggan itu? Jawab baginda:”Siapa yang mematuhi perintahku, masuk syurga dan siapa yang melanggar perintahku maka sesungguhnya orang itu enggan.”

(al-Bukhari)

Huraian : Dunia ini adalah kerajaan Allah SWT. Segala yang ada di alam ini adalah daripada kurniaan rahmat Allah. Manusia merupakan khalifah Allah, diciptakan untuk memuja Allah dan memikul amanah Allah. Hidup ini merupakan pemberian Allah dan kematian pula adalah qadar atau ukuran dari Allah. Dunia ini adalah kebun tempat manusia berusaha untuk mematuhi perintah Allah, dan akhirat adalah masa menuai dan menerima balasan daripada Allah. Orang yang berbahagia ialah mereka yang menurut petunjuk Allah dan Rasul-Nya, dan orang yang malang ialah mereka yang membelakangkan diri dari pengajaran Allah dan Rasul-Nya. Maka manusia yang ditugaskan memikul beban dan tanggungjawab di dunia yang fana dan penuh cabaran ini hendaklah mempunyai persiapan untuk kehidupan yang selamanya di negeri yang abadi di mana kematian adalah jambatan yang menghubungkan antara keduanya yang seterusnya menyampaikan mereka ke suatu tempat sama ada ke syurga atau ke neraka.



Dugaan Menghapuskan Dosa

Hadith :
Dari Abdullah r.a katanya:”Aku datang mengunjungi Rasulullah s.a.w ketika beliau sakit, lalu kusentuh baginda seraya berkata:”Ya Rasulullah! Demam anda bertambah teruk.” Jawab baginda,”Memang demamku sama dengan demam dua orang kamu. Kataku pula, “Semoga anda mendapat pahala berganda pula.” Jawab baginda:”Semoga!” Kemudian sabda baginda pula:”Tidak ada seorang muslim yang ditimpa cubaan berupa sakit dan sebagainya melainkan dihapuskan Allah Taala dosa-dosanya, seperti pohon kayu menggugurkan daunnya.”

(Muslim)

Huraian : Segala bencana, penyakit, kesusahan atau kerunsingan yang menimpa tubuh badan atau akal fikiran seseorang mukmin adalah menjadi "kaffarah" (penghapus) kekotoran dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana itu. Anas berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: "Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian; dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka, kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan reda, maka dia akan beroleh keredaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah." (at-Tirmidzi dan Ibn Majah)


Cinta Lahirkan Ketaatan

Hadith :
Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “ Demi Allah yang jiwa ku di tangan-Nya tidak beriman seseorang kamu sebelum aku menjadi orang yang lebih dikasihinya daripada bapanya dan anaknya.”

(al-Bukhari dan Muslim) ; Rujuk Mukhtasar Sahih al-Bukhari 14, Mukhtasar sahih Muslim 23)


Huraian : Orang-orang yang keras hati tidak akan mengenal kasih sayang, kurang peka perasaan, lagi tipis perikemanusiaannya. Berbeza halnya dengan orang yang dikurniakan Allah SWT dengan hati yang lembut, penuh kasih sayang lagi penuh kemurahan. Rasulullah SAW contohnya dikenali sebagai seorang yang penuh kasih sayang dan lembut hatinya. Sudahkah kita berusaha mengamal dan mencontohi sikap baginda yang sangat terpuji itu hingga cinta kita pada Rasulullah bukan sekadar cinta buta, tapi cinta yang melahirkan ketaatan pada Allah SWT dan sikap mulia dalam kehidupan kita sehari-hari? Jika direnung, tidak wajar kita mengatakan bahawa kita mencintai Rasulullah sedangkan dalam kehidupan seharian, kita sering melanggar nasihat-nasihat baginda? Kecintaan kita pada baginda selama ini cuma cinta bersahaja, bukan juga cinta biasa sebagaimana cinta kita kepada anak-anak atau manusia yang lain. Sedangkan kecintaan Rasulullah pada kita umatnya amat mendalam dan luar biasa, disebut-sebut oleh baginda hingga nafas yang terakhir!

Mati Dalam Iman
Hadith :
Dari jabir (bin Abdullah ) r.a katanya dia mendengar rasulullah s.a.w bersabda:” Setiap orang akan dibangkitkan kelak (hari kiamat)menurut keadaan (aqidah atau imannya) ketika mati.”

(Muslim)


Huraian“Janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Islam" merupakan perintah Allah agar kita jangan mati kecuali dalam keadaan beriman dengan ajaran Islam kerana Allah S.W.T tidak akan menerima agama selain Islam, malah Islamlah satu-satunya agama yang diredhai-Nya. Memanng tidak dinafikan bahawa tiada sesiapa pun yang layak dan mampu memberikan hidayah kepada seseorang kecuali Allah yang akan memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki. Namun begitu kita selaku manusia diberi kemampuan untuk membuatkan diri kita mati di dalam keadaan beriman sedangkan Allah S.W.T juga telah menunjukkan kepada kita jalan untuk mencapainya iaitu kita seharusnya melakukan perkara-perkara berikut : • Menjalankan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. • Berdoa kepada Allah untuk mematikan kita dalam Islam dan dalam keadaan beriman (husnul khotimah). • Bersyukur kepada Allah di atas nikmat Islam yang diberi bahkan sesungguhnya nikmat yang terbesar yang kita miliki ialah nikmat Iman dan Islam.• Menanamkan perasaan takut sekiranya mati dalam keadaan suul khotimah. Oleh itu seharusnya kita sentiasa berusaha untuk menjaga dan memperkuat keimanan kita dengan menjauhi maksiat dan dosa kerana perkara tersebut akan melemahkan dan merendahkan nilai pegangan aqidah kita serta ditakuti nanti kita akan menghadapi saat sakratul maut yang payah.

No comments:

Post a Comment