Saturday, May 16, 2009

Asal-Usul Sambutan Hari Ibu-Adakah Islam Membenarkan?-

Untuk Makluman Bersama...sejauhmanakah pengetahuan kita tentang hari Ibu?

Tahukah anda tentang asal-usul perayaan menyambut Hari Ibu? Dan mengapakah ia disambut pada tarikh tertentu?

Sejarahnya bermula dengan orang-orang Yunani lebih dari 2500 tahun dahulu. Mereka mengkhususkan satu hari dalam musim bunga bagi perayaan mengangungkan dewi Rhea, ibu bagi segala dewa-dewi di langit. Hari tersebut jatuh pada 21 March setiap tahun. Tarikh ini dipilih kerana ketika tersebut Matahari melintasi garisan Khatulistiwa, dan mereka memulakan tahun mereka dengan peristiwa ini.

Amalan ini ditiru oleh orang-orang Rom yang tinggal berjiran dengan orang-orang Yunani.

Mereka mempercayai bahawa segala dewa-dewi yang mereka sembah dilahirkan oleh seorang ibu dewi yang dipanggil Cybele. Maka mereka juga mengadakan sebuah perayaan bagi ibu dewi ini pada hari yang sama, iaitu 21 March. Apabila ugama Kristian menjadi pegangan empayar Rom,perayaan bagi dewi Cybele ini ditukar kepada perayaan bagi mengagungkan Maryam, ibu kepada Nabi Isa a.s. Ini adalah kerana orang-orang Kristian mempercayai bahawa Nabi Isa a.s adalah anak tuhan dan juga tuhan, maka Maryam adalah ibu tuhan, dan tugasnya tidak banyak berbeza dengan tugas dewi Cybele bagi orang-orang Rom,iaitu melahirkan anak tuhan.

Perayaan ini disambut pada hari Ahad keempat dalampesta ‘Lent’. Lent adalah perayaan orang-orang Kristian. Ia adalah selama 46 hari sebelum ‘Easter Sunday’. Easter Sunday pula adalah hari di mana orang-orang Kristian mempercayai bahawa Nabi Isa a.s dibangkitkan dari kuburnya setelah mati disalib 2 hari sebelum itu, iaitu pada hari Jumaat. Hari Jumaat itu pula dipanggil sebagai ‘Good Friday’. Di England, bermula dari abad ke15, perayaan tersebut diberi nama ‘Mothering Sunday’ (Hari Ahad untuk Ibu).Pada hari tersebut, pekerja-pekerja digalakkan bercuti untuk bersama-sama dengan ibu mereka. Setelah ugama Kristian tersebar luas di Eropah, perayaan Mothering Sunday tidak hanya untuk Maryam sahaja. Ia diluaskan untuk menghormati dan mengagungkan ‘Mother Church’(Ibu Gereja), yang mereka percaya sebagai pelindung dari segala malapetaka. Kepercayaan dan amalan ini diteruskan oleh pendatang-pendatang Kristian di benua Amerika. Padatahun 1872, Julia Ward Howe, salah seorang penulis lirik lagu kebangsaan Amerika Syarikat, mencadangkan agar Mothering Sunday juga disambut untuk menggalakkan keamanan. Dia kemudian menukar namanya kepada Mother’s Day, atau Hari Ibu. Pada tahun 1907, seorang wanita bernama Anna Javis memulakan kempen untuk memperingati ibunya yang banyakberjasa kepada masyarakat di sekelilingnya.

Pada tahun tersebut, Anna Javis berjaya mendesak gereja di mana ibunya selalu hadir agar memperingati hari kematian ibunya, dengan menukar Hari Ibu dari Ahad keempat perayaan Lent kepada Ahad kedua bulan Mei, kerana ia adalah tarikh kematian ibunya pada tahun tersebut. Anna Javis juga menulis surat kepada ramai ahli politik, termasuk presiden Amerika Syarikat,peniaga-peniaga dan pembesar-pembesar negara ketika tersebut, agar dijadikan Hari Ibu sebagai hari cuti umum pada setiap Ahad kedua bulan Mei. Kempen tersebut berjaya. Pada tahun 1911, hampir semua kawasan di Amerika Syarikat menyambut Hari Ibu digereja pada Ahad kedua bulan Mei. Pada tahun 1914,Presiden Woodrow Wilson mengisytiharkan Hari Ibu sebagai hari cuti umum. Tradisi menyambut Hari Ibu pada Ahad kedua bulan Mei ini kemudian tersebar luas ke merata dunia dan disambut oleh ramai orang Kristian. Adapun perayaan asal Mothering Sunday pada Ahad keempat pesta Lent, ia sekarang dikenali sebagai Laetare Sunday dan masih diamalkan oleh gereja Kristian di Barat. Jelas di sini, perayaan Hari Ibu berasal dengan kepercayaan orang-orang Yunani dan Rom, yang kemudian diambil dan diubah-suai oleh orang-orang Kristian.Umat Islam dilarang meniru adat dan kepercayaan ugama lain. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-An’am, ayat 150, yang bermaksud: Dan janganlah engkau turut hawa nafsu orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, dan orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, sedang mereka pula menyamakan (sesuatu yang lain) dengan Tuhan mereka. Islam tidak menafikan kemulian kaum ibu. Firman Allah s.w.t dalam surah Luqman, ayat 14, yang bermaksud: Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun;(dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari danMuslim, Rasulullah s.a.w pernah ditanya, siapakah yang paling berhak ditemani. Rasulullah s.a.w menjawab:Ibumu. Kemudian ditanya lagi: Setelah itu siapa?Dijawab Rasulullah s.a.w: Ibumu. Kemudian ditanya lagi: Setelah itu siapa? Dijawab Rasulullah s.a.w : Ibumu. Kemudian ditanya kali keempat: Setelah itu siapa? Dijawab Rasulullah s.a.w: Bapamu. Ibu bapa perlu dihormati dan dimuliakan setiap hari,bukan mengkhususkan satu hari untuk memperingati ibu dan satu hari lain untuk memperingati bapa. Islam telah meletakkan garis-pandu tentang bagaimana penghormatan ini dapat dilaksanakan. Antaranya adalah apa yang terkandung dalam firman Allah s.w.t dalam surah Al-Isra', ayat 23 dan 24, yang bermaksud: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali,sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu,maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu. Selain dari itu, kita digalakkan agar mendoakan untuk mereka, samada mereka masih hidup atau sudah pergi. Antara doa-doa yang termaktub dalam Al-Quran adalah seperti berikut: “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

No comments:

Post a Comment